09 Disember, 2008 00:24 AM

Tanah Runtuh Boleh Dielak, Kata Pakar

Oleh Massita Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Kebanyakan kejadian tanah runtuh boleh dielak dan Malaysia sudah memiliki kepakaran untuk mengurangkan kekerapan insiden itu dengan drastik, kata Dr Ir Nehemiah Lee, jurutera geoteknikal.

Kejuruteraan Geoteknikal merupakan bidang kejuruteraan yang khusus dalam kerja-kerja menilai kestabilan dan kekuatan tanah serta batu-batu, dan juga keadaan air bawah tanah.

Beliau yang sebelum ini bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran berkata insiden-insiden tanah runtuh biasanya dikenali sebagai masalah kestabilan cerun oleh jurutera geoteknikal.

"Persoalannya ialah sama ada pihak berkuasa sanggup menjana sumber dalam bentuk tenaga pakar, dan pembiayaan yang mencukupi bagi menyelesaikan masalah itu," katanya kepada Bernama hari ini.

Merujuk kepada gesaan supaya semua pembangunan di kawasan bukit dihentikan ekoran insiden tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Sabtu lepas, Dr Lee yang kini adalah pengarah urusan Nehemiah Reinforced Soil Sdn Bhd berkata ia mungkin bukan pendekatan yang sesuai untuk mengatasi masalah itu.

Dr Lee yang sering dijemput untuk memberi taklimat berhubung perkara itu di persidangan-persidangan antarabangsa berkata, pembangunan berterusan dalam jumlah penduduk dan kekurangan kawasan rata akan terus memberi tekanan untuk membangunkan kawasan cerun bukit.

"Walaupun semua kawasan cerun tidak dibangunkan sekalipun, masalah tetap wujud kerana masih ada cerun bukit yang tidak stabil. Cerun yang curamnya kurang dari 35 darjah mungkin stabil, tapi yang yang terlalu curam mungkin tidak," katanya.

Beliau berkata kestabilan cerun sebenarnya turut bergantung kepada lain-lain faktor, termasuk kelebatan hujan dan tempohnya, jenis tanah, bentuk geologi, keberkesanan sistem saliran dan juga jenis tumbuhan di kawasan cerun itu.

"Selain itu masih ada unsur ketidaktentuan yang membabitkan faktor yang tidak diketahui yang berada di luar daripada bidang kepakaran kejuruteraan geoteknikal," katanya.

Dr Lee seterusnya mencadangkan satu cara yang dirasakan berkesan dalam menangani masalah ini, iaitu menerusi pengwujudan satu badan khas yang hanya memikul tanggungjawab khusus kepada pengurusan keselamatan cerun di Malaysia.

Katanya badan ini perlu diuruskan oleh pakar-pakar dalam kejuruteraan geoteknikal dan diiktiraf oleh pakar kejuruteraan geologi, pakar hakisan tanah, pakar hidro, pakar saliran, aktivis alam sekitar, peguam dan pembuat dasar.

Menurutnya peranan badan ini adalah untuk menyelaras dan mengaudit siasatan, reka bentuk, pembinaan, pemantauan dan penyelenggaraan cerun, yang termasuk cerun-cerun buatan manusia di tepi bukit dan juga binaan tembok-tembok pengukuh cerun.

Selain peranannya dalam aspek penyelarasan, Dr Lee berkata badan itu juga perlu melaksanakan penyelidikan dan pendidikan, termasuk dalam soal berkaitan siasatan forensik tanah runtuh, yang akan dapat meningkatkan kefahaman mengenai punca tanah runtuh.

"Pendidikan awam juga penting bagi meningkatkan kesedaran mengenai risiko dan kepentingan menyelenggara cerun di kalangan pemilik rumah," katanya.

Dr Lee berkata tugas pertama badan ini adalah untuk bekerjasama dengan pemilik rumah-rumah swasta, persatuan-persatuan pemilik rumah dan pemaju; untuk melaksanakan kajian penilaian risiko setiap cerun sedia ada dalam negara yang berpotensi menimbulkan ancaman kepada orang ramai.

Sebarang cerun yang didapati tidak selamat perlu dikukuhkan kepada tahap keselamatan yang ditetapkan manakala sebarang kerosakan atau kekurangan dalam sistem pengairan perlu dibetulkan dengan segera," katanya.

Bagi pembangunan kawasan pinggir bukit yang baru, Dr Lee berkata badan ini perlu menyelaras reka bentuk, membina dan menyelenggara cerun-cerun buatan manusia bagi memastikan ia mematuhi standard tertinggi amalan kejuruteraan.

Menurutnya yang paling penting, beliau merasakan bahawa badan ini perlu diberikan dengan kuasa untuk melulus atau menolak sebarang pembangunan pinggir bukit yang baru, supaya tidak ada pihak berkuasa tempatan dapat mengeluarkan sijil layak menduduki sebelum mendapat kelulusan badan ini.

Dr Lee berkata beliau berharap insiden-insiden tanah runtuh akan dapat dikurangkan dengan ketara dengan penubuhan badan ini, dan pembangunan yang lestari serta mesra alam sekeliling di kawasan cerun bukit akan dapat diteruskan.



-- BERNAMA

Kami menyediakan langganan  
berita melalui perkhidmatan
Newswire.